BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 25 November 2008

PANDUAN UNTUK PENGGEMAR ORKID...

Menanam orkid adalah satu hobi yang menarik, menceriakan dan terapeutik sekiranya kita memahami ciri-ciri dan keperluan spesifik jenis orkid yang ditanam. Terdapat beberapa faktor asas yang perlu diambil kira untuk mencapai kejayaan di dalam penanaman bunga orkid. Namun, ramai yang lebih suka membeli dari menanamnya. Pada kebiasaannya, kecantikan bunga merupakan kriteria utama bagi peminat orkid apabila membeli orkid. Membeli pokok orkid yang sedang berbunga merupakan satu panduan penting. Walaupun harganya agak mahal, namun, kita dapat mengetahui bahawa pokok itu sudah matang dan sekira dijaga dengan baik ianya akan berbunga lagi. Tambahan pula, jenisnya dapat diketahui dan ini memudahkan bagi penyediaan keperluan penjagaan kerana setiap jenis orkid berbeza keperluannya.Setiap pokok orkid yang dibeli, biasanya mempunyai label nama bagi orkid berkenaan dan sekiranya tidak mempunyai label, pertanyaan boleh diajukan kepada pemilik kedai bunga atau nurseri tersebut.Bagi mereka yang baru mula berjinak dengan penanaman orkid, saya syorkan supaya membeli jenis orkid yang murah, dan biasa terdapat di pasaran seperti yang ditunjukkan di dalam gambar. Setelah anda memahami dan mendapat pengalaman yang mendalam serta mantap, barulah anda membeli orkid yang lebih eksotik.

Penyediaan keperluan Orkid
Setelah kita tahu jenis orkid yang kita beli, kita mesti meletakkannya di tempat yang bersesuaian samada di luar atau di dalam rumah. Faktor persekitaran patut diambil kira bila menanam orkid.Secara umumnya, kita tidak perlu ruang teduh yang banyak sekiranya pokok yang ada hanya sedikit. Berikut adalah panduan untuk menanam beberapa jenis orkid yang banyak di pasaran.

Ciri-ciri Orkid

Umumnya, orkid boleh dibahagikan mengikut ciri pertumbuhannya iaitu monopodial dan simpodial. Monopodial adalah orkid yang mempunyai hanya satu batang dan akan tumbuh meninggi. Tangkai bunganya akan keluar di antara daun. Contohnya, orkid Vanda, Mokara dan Phalaenopsis.






Manakala orkid simpodial pula mempunyai rizom, iaitu batang yang tumbuh rapat dipermukaan pasu. Beberapa pucuk baru akan tumbuh daripada bahagian ini. Tangkai bunga akan keluar di penghujung pucuknya. Selepas berbunga, pucuk baru akan tumbuh dan berbunga. Contoh orkid simpodial ialah Oncidium, Dendrobium, dan Catteleya.


Orkid tergolong dalam keluarga Orchidaceae iaitu famili yang mempunyai banyak perbezaan dari segi bentuk bunga dan pokok bagi menentukan genus dan spesies. Terdapat lebih daripada 111 genus dan 808 spesies orkid di Malaysia. Pada amnya, pokok orkid boleh dikenali melalui bentuk bunga, akar, daun dan batangnya. Walau bagaimanapun, bunga adalah bahagian pokok yang paling sesuai digunakan atau dilihat untuk mengenalpasti genus tanaman orkid. Secara umum, orkid komersil boleh dikelaskan kepada dua jenis kumpulan yang besar, iaitu orkid simpodium dan monopodium.

Simpodium adalah cara pertumbuhan yang berakhir dengan pengeluaran bunga. Orkid dalam kumpulan ini boleh tumbuh sama ada di atas pokok (epifit) atau di atas tanah (terestrial). Batang pokok berbentuk seperti bebawang semu, menjalar dan mempunyai pertumbuhan dua atau berbagai hala. Ia mempunyai bebawang semu yang panjang beruas-ruas atau pendek tanpa beruas. Akar dan daun akan terbit daripada bebawang semu manakala tunas baru pula akan mengeluarkan bunga apabila matang. Genus-genus orkid komersil yang terdapat di dalam kumpulan simpodium ialah Oncidium, Cattleya dan Dendrobium. Monopodium adalah cara pertumbuhan yang tidak berakhir dengan pengeluaran bunga. Batangnya kecil dan diliputi oleh upih-upih daun. Akar udara yang keluar daripada batang terpaksa menembusi upih daun. Batang orkid monopodium tidak bercabang dan boleh mengeluarkan tunas-tunas baru selepas dipotong. Keratan batang kemudian di tanam di dalam pasu di atas tanah yang tidak lembab. Genus-genus komersil yang terdapat di dalam kumpulan monopodium ialah Venda, Arachnis, Renanthera, Aranda dan Mokara. Jangkamasa matang bagi setiap orkid berbeza-beza antara genus, spesis, hibrid dan jenis bahan tanaman yang digunakan. Ia bergantung kepada sifat-sifat semulajadi bahan genetik yang terdapat dalam setiap jenis dan varieti. Pada kebiasaanya pokok-pokok yang dihasilkan dari biji benih mengambil masa 1-3 tahun untuk matang, manakala pokok-pokok yang dihasilkan dari bahan keratan tampang mengambil masa antara 4-12 bulan bergantung kepada saiz dan pokok induk dari mana keratan tersebut di ambil.

Mengenali species orkid menerusi bunga
POKOK orkid atau orchidaceae adalah keluarga bunga yang banyak perbezaan pada bentuk dan rupa pokok. Ada 808 spesies orkid di Malaysia yang boleh dikenali menerusi bunga.Bunga orkid adalah daripada sepal, petal, stamen dan pistil yang mempunyai daun urat selari. Gabungan stamen dan pistil dinamakan kolum. Di bahagian luar sepusar bunga ada tiga kelopak sepal manakala di sebelah dalamnya pula terdapat dua kelopak petal. Kelopak petal ketiga berubah bentuk menjadi labelum atau bibir. Kolum mengandungi cepu debunga di bahagian atas, stigma di bahagian tengah dan benang sari di bahagian bawah. Debunga terletak dalam pundi yang dipanggil polinia dalam bilangan yang genap 2-12. Ovari terletak bawah sepal dan berfungsi sebagai tangkai bunga atau pedisel. Setelah persenyawaan, ovari akan membesar menjadi buah orkid yang mengandungi biji benih. Bentuk batang orkid berkait rapat dengan cara pertumbuhan pokok orkid sama ada orkid simpodium atau orkid monopodium. Cara pertumbuhan orkid juga digunakan sebagai satu ciri yang dilihat untuk menentukan genus orkid. Orkid simpodium boleh tumbuh sama ada di atas pokok (epifit) atau atas tanah (terestrial). Batang pokoknya berbentuk seperti bebawang semu, menjalar dan mempunyai pertumbuhan dua atau berbagai hala. Bebawang semunya panjang beruas-ruas atau pendek tanpa ruas. Akar dan daun akan terbit daripada bebawang semu manakala tunas baru pula akan mengeluarkan bunga apabila matang. Bebawang semu tua akan mengeluarkan tunas baru di pangkal rumpun sebelum mengecut dan mati. Genus-genus orkid komersil yang terdapat di dalam kumpulan simpodium ialah Oncidium, Cattleya dan Dendrobium. Penghasilan bunga banyak bergantung kepada keadaan ‘photoperiodic’ dan suhu sekitaran. Untuk orkid Dendrobium, Oncidium, Cattleya dan Phalaenopsis, pokok akan terangsang untuk berbunga selepas terdedah kepada masa gelap/malam yang panjang. Oleh itu, pokok orkid jenis tersebut perlu naungan untuk menggalakkan pengeluar orkid jenis Aranda, Aranthera, Arachnis, Mokara, Renanthera dan Vanda akan hanya terangsang mengeluarkan bunga setelah di dedahkan kepada matahari sepenuhnya. Oleh itu, orkid jenis ini tidak memerlukan naungan pada peringkat matang.

Selasa, 18 November 2008

ANAK ORKID BUTTERFLY...

Aku singgah nurseri kat simpang 4 Chendering dengan hajat nak beli tanah jepun untuk kaktus, tapi seronok pula tengok bermacam-macam jenis orkid ada di situ. Seronok lagi ada penceramah bebas pelanggan tetap makcik nurseri tu. Kata dia kalau nak beli orkid jangan beli yang besar....mahal! Cantik sekejap je masa ada bunga, lepas tu tak ada beza dengan yang kecik ni. Lebih baiklah beli yang kecik jaga elok2 biar dia berbunga. Maka akupun cubalah idea dia ni. Bila agaknya orkid ni akan berbunga, setahun atau dua tahun lagi.....uhukkk!!

Khamis, 13 November 2008

PERMULAAN BARU UNTUK ORKID...

Aku sangat suka dengan orkid. Dulu masa aku menyewa, pokok orkidku cantik-cantik. Sekarang koleksi orkid yang aku ada kurang berbunga dan kurang cantik... Mungkin kerana aku kekurangan masa dan pokok di rumahku terlalu banyak untuk si beri perhatian. Sekarang cuti sekolah telah bermula. aku berazam untuk mencantikkan semua pokok orkid yang aku ada dan menambah seberapa banyak koleksi lagi dalam masa terdekat. Macamana cara? Belilah, apa lagi.... Budget? Belilah yang kecik-kecik dan harganya bawah dari RM 20....